ICBEF : Bincang ketahanan ekonomi melalui perniagaan mampan, inovasi





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hasif Matzin






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Oktober. - Sekolah Perdagangan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (Universiti Brunei Darussalam School of Business and Economics - UBDSBE), dan Hibiscus EP (Brunei) BV menganjurkan Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF 2025) Ke-5.


Sehubungan dengan itu, hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan persidangan berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang berlangsung di The Empire Brunei.


Persidangan selama dua hari berkenaan bertemakan 'Economic Resilience through Sustainable Business and Innovation' dengan mengumpulkan lebih 250 peserta, termasuk wakil daripada kementerian, agensi awam, institusi swasta dan universiti antarabangsa.


Sementara itu, Dekan UBDSBE, Dr. Wardah Azimah binti Haji Sumardi dalam ucapannya menjelaskan, kepelbagaian perspektif dan kepakaran menjadikan ICBEF 2025 bukan sekadar sebuah persidangan, tetapi platform yang dinamik untuk kerjasama rentas sempadan dan pertukaran idea sekali gus mengukuhkan peranan UBDSBE sebagai hab untuk penglibatan serantau dan global yang bermakna.


Di UBDSBE jelasnya, misi mereka adalah untuk memajukan ilmu yang memberi impak melalui penyelidikan, pendidikan dan penglibatan.


Menurutnya lagi, berpandukan kepada akreditasi AACSB dan sebagai penandatangan Prinsip-prinsip Pendidikan Pengurusan Bertanggungjawab (PRME), mereka terus menerapkan kelestarian, inovasi dan kepimpinan beretika dalam pengajaran, penyelidikan dan jangkauan mereka.


Dr. Wardah Azimah juga mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UBD dan Hibiscus EP (Brunei) BV, memperkasa kerjasama dalam penyelidikan, latihan profesional dan pembangunan bakat.


Majlis kemudian diteruskan dengan perasmian persidangan oleh tetamu kehormat majlis.


Sejurus selepas perasmian, ucaptama bertajuk 'Renewable Energies in the Era of Global Climate Change: Challenges and Opportunities' disampaikan oleh Profesor Jinhua Zhao dari Cornell University, yang membincangkan hubungan yang semakin berkembang antara dasar awam, inovasi sektor swasta dan peralihan tenaga global, serta menekankan kepentingan tindakan yang diselaraskan untuk mencapai sasaran iklim.


Perbincangan panel bertajuk 'Building Sustainable Digital Innovation Ecosystem' kemudian menampilkan Profesor Zhao; Pengarah Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Allen On Hsien Yung; dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Pembayaran Digital Kebangsaan, Awang Muhd.  Hafiz Haslen. Sesi panel berkenaan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. M Muzamil Naqshbandi dari UBDSBE.


Manakala pada sebelah petang, persidangan diteruskan dengan enam sesi selari yang membincangkan pelbagai topik, termasuk Kecerdasan Buatan (AI) dan Masyarakat, Ekonomi Kitaran dan Pertumbuhan Mampan, Kewangan Mampan, Pembangunan Bandar, Keusahawanan Komuniti dan Sosial, serta Inovasi Digital dan Kelestarian.


Sesi - sesi berkenaan menampilkan penyelidikan daripada kalangan ahli akademik dan pengamal yang komited dalam memajukan ekonomi yang mampan berasakan inovasi.


ICBEF 2025 menampilkan lebih daripada 70 pembentangan kertas kerja merentasi 20 sesi bertema, dengan perbincangan merangkumi AI, keusahawanan, ekonomi hijau dan transformasi digital.


Persidangan tahun ini disokong oleh Brunei Darussalam Central Bank  (BDCB), Universitas Padjadjaran (Republik Indonesia), Silpakorn University (Thailand), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Malaysia), dan GoMamam sebagai penaja, dengan Hibiscus EP (Brunei) BV sebagai penganjur bersama dan rakan kongsi utama.


Close